Wednesday 19 October 2011

Redah Alam - Laut


REDAH ALAM RESOURCES     (ip0353251-A)

Cerita Main Ombak di Pangkor  (2H1M)
  Sesekali dapat menikmati percutian indah di pulau dengan ditemani deruan ombak memukul pantai, tentu sekali memberi pengalaman mendamaikan selepas mengharungi hiruk-pikuk kehidupan kota. Percutian seumpama ini tentunya memberikan seribu satu kenangan indah tatkala dapat berehat dalam keadaan tenang di tepi pantai memutih. Siliran angin menyejukkan tubuh badan sambil membawa udara laut yang menyejukkan.
Percutian damai sambil main ombak yang diuruskan oleh Redah Alam Resources di Pulau Pangkor menawarkan pemandangan pantai serta berbukit-bukau dan unik di rantau ini.  Anda tentu tidak akan berasa puas dan impikan kunjungan kedua kalinya dan seterusnya.            
Redah Alam menawarkan percutian untuk seberapa banyak pengunjung dalam satu-satu masa. Banyak atau kurang tetamu bukan menjadi persoalan, yang penting adalah kepuasan tetamu Redah Alam Resources. Pakej serendah 10 tetamu pun Redah Alam akan raikan tetamu dengan pelbagai sajian percutian.        
Bayaran yang dikenakan untuk seorang tamu dikira berbaloi. Pakej ini menawarkan percutian selama 2 hari 1 malam. Penginapan indah menanti kedatangan anda dengan senyuman mesra. Inapan berhawa dingin sambil menonton televisyen amat mendamaikan. Puas berada di bilik, anda boleh memandang keluar ataupun berjalan-jalan di luar penginapan sambil menghirup udara segar pulau indah ini.          
Tidak puas rasanya kalau Redah Alam menanti sahaja kunjungan anda di penginapan.  Redah Alam akan menyambut kedatangan anda di Lumut Waterfont.  Balai Ketibaan di Jeti Lumut sebagai titik mula pertemuan bersama Redah Alam. Anda tidak perlu fikirkan bagaimana hendak ke lokasi percutian anda ini.  Segalanya diatur untuk anda menikmati pakej main Ombak bersama Redah Alam. 
Percutian indah anda bermula dari Jeti Lumut lagi. Perjalanan feri yang membawa anda ke lokasi menyajikan pemandangan indah ke Pangkor. Anda dapat lihat labuhan kapal-kapal angkatan Laut kita yang sedia menanti untuk ke medan pertahanan negara. Sesekali anda akan berasa olengan feri begitu kuat selepas berselisih dengan kapal-kapal besar yang keluar masuk ke Pelabuhan Lumut.
Deretan tambatan bot nelayan dan perkampungan nelayan di tepi pantai menggamit kunjungan anda ke Pangkor. Anda tentu terpegun dengan keunikan kampung nelayan yang penuh warna-warni kehidupan. Kelihatan juga kesibukan bot-bot nelayan kecil pulang ke pelantar membawa hasil titik peluh di laut sebagai rezeki untuk keluarga. Bunyi enjin bot di ‘lebuhraya laut’ begitu membingitkan tetapi itulah yang kedengaran saban hari di sini.
‘Pink taxi’ menanti anda untuk ke lokasi penginapan yang anda pilih. Anda tentu terhibur dengan gelagat dan telatah pengguna jalan raya di sini. Anda dapat lihat kecekapan pemandu dan penunggang di sini mengambil selekoh di jalan sempit tepi gaung taupun setidak-tidaknya mengelak ‘cilokan’ rakan-rakan di sepanjang perjalanan.          
Kunjungan ke lokasi tidak sempurna kalau tidak disediakan ‘welcome drink’ untuk tetamu. Laksa Pangkor dan sirap limau disajikan khas untuk tetamu yang tentu kehausan setelah perjalanan jauh ke lokasi. Ditambah pula dengan mabuk lauk dan mabuk darat sepanjang perjalanan tadi.     
Tiba sudah. Minum sudah. Daftar masuk sudah. Apa lagi bermalas-malaslah dalam kamar melepas lelah. Ataupun anda boleh berjalan-jalan menghirup udara segar bayu laut setidak-tidaknya memandang ke luar jendela. Lihat laut. Lihat suasana. Renung kehidupan. Dan bagi yang gemar bersukan, boleh memilih untuk berlari-lari di tepi pantai sambil mengelak dari basah kaki kena ombak. Riadah Santai disediakan untuk tetamu Redah Alam Resources. Tentu anda ingin menikmatinya secara langsung.        
Makan malam disediakan untuk tamu istimewa Redah Alam di ruang makan yang disediakan khas. Namun anda boleh memilih sama ada mahu menikmati makan malam ini di tepi pantai sambil melihat suasana waktu awal malam di pantai. Terpulang kepada pilihan anda sebenarnya. Redah Alam hanya menyediakan situasi untuk tetamunya.         
Menu makan malam sudah tentulah makanan laut. Sesuai dengan pakej percutian anda di pulau ini. Nikmatilah ikan segar, udang segar, ketam bakar, pari bakar ataupun anda boleh nikmati Jenahak Stim, Siakap Tiga rasa dan  Bilis goreng . Segalanya bergantung kepada permintaan tetamu yang mahukan hidangan  yang bagaimana rupa.
Makan malam tidak sempurna kalau tidak ada alunan muzik iringan. Apatah lagi suasana di tepi pantai sebegini, sudah tentu anda mahu merasai betapa romantiknya sambil makan dihiburkan oleh alunan muzik
sentimental berentak jazz ataupun bagi yang sukakan yang lebih keras dihidangkan lagu-lagu retro dan slow rock.        
          Kalau anda mahu berhibur secara langsung, Redah Alam akan sediakan beberapa ‘buskers’ yang bersedia melayan anda sepanjang malam. Jadikan ‘Semalam di Pangkor’ penuh kenangan yang cukup indah.  Kalau ada rezeki, ‘buskers’ dari luar negara bersedia menghiburkan anda. Bayangkan anda sedang menikmati barbeku sambil mendengar alunan gesekan violin oleh busker’ dari Portugal ataupun setidak-tidaknya petikan gitar dari ‘Bro jas’ dan tiupan harmonika dari ‘Bro Jojo’. Fuh, kenangan terindah di Pangkor katakan ! Sudah tentu Selamat Malam Pangkor diiringi mimpi-mimpi indah di kamar inap anda.           
Selamat pagi anda tentu lebih segar hari ini. Selepas urus diri, sarapan pagi disajikan panas-panas. Bagi yang suka sarapan ringkas, roti bakar dan telur setengah masak dihidangkan bersama minuman panas. Nasi Lemak sambal ikan bilis pasti tidak dilupakan.           
Senaman pagi dimestikan untuk panaskan badan.  Anda boleh memilih untuk melakukannya di tepi pantai atau di arena penginapan. Kadang-kadang aktiviti ini dikongsi bersama pelancong-pelancong lain yang ketika itu ada bersama. Redah Alam tidak berkira dalam hal ini, yang penting semua tetamu dapat melakukannya bersama . Apatah lagi bukan senang nak dapat bersuasana begini.   
            Bertepatan dengan Pakej Main Ombak yang anda pilih, Redah Alam akan membawa anda ke beberapa lokasi menarik melalui jalan laut . ‘Island Hopping’ menawarkan pakej menaiki bot pusing pulau. Anda boleh lihat Pulau Peranginan Pangkor Laut yang terkenal itu lebih dekat. Anda tentu terpegun melihat chalet terapungnya yang sangat cantik dan mendamaikan.
Anda boleh lihat  Teluk Monyet, Batu Penyu, Batu Ikan Paus , Pulau Mentagor, Batu Kepala Buaya dan juga melihat pemandangan pantai Teluk Nipah dari arah laut.
            Main Ombak anda tidak sempurna kalau tidak berhenti melihat ikan di Pulau Giam. Anda boleh beri roti untuk ikan-ikan jinak di sini. Lebih mencabar, anda boleh turun dari bot dan bermain di pulau ini selama mana anda mahu.Main ombaklah anda sepuas-puasnya di sini. Anda boleh memilih untuk snorkeling, bermain dengan ikan, melihat coral yang ada di sini. Atau bagi yang lebih suka cabaran, anda boleh lakukan ‘skin dive’ di sini. Bukan anda sahaja yang menikmatinya di sini, malah satu-satu ketika  menjangkau ratusan pengunjung di sini.
Puas Main Ombak, anda akan dihidangkan makan tengah hari dengan menu laut lagi. Hidangan nasi putih, kari ikan belaling, asam pedas pari, talang goreng dan air asam bol selalu menjadi pilihan utama tetamu Redah Alam Resources.
            Selepas daftar keluar dari penginapan, anda boleh memilih untuk ‘land hopping’ ataupun bergerak terus ke pekan Pangkor. Segalanya bergantung kepada permintaan anda. ‘Land hopping’ dengan  ‘pink taxi’ sambil berkunjung ke tempat-tempat menarik di Pangkor pasti anda nantikan. Teluk Gedung, Batu Bersurat, Kota Belanda, Kampung Nelayan, Restoran Hassan, dan Galeri Pangkor pasti anda tiba. Bagi yang Muslim boleh singgah solat di Masjid Teluk Raja Bayang sebelum berhenti membeli-belah di pekan Pangkor.     
‘Pink taxi’ meluncur lagi. Pusing pulau diteruskan dengan melalui jalan sempit berbukit, sibuk, bengkang-bengkok di kiri bukit, di kanan gaung. . Ha! Ha! Ada yang dapat ‘mabuk free’ dalam perjalanan ini. Anda akan melepasi ‘Little China Town’, singgah di Fu Ling Kong ataupun singgah di kilang satay ikan. Sesekali berhenti di menara tinjau untuk bergambar buat ole-ole untuk dialbumkan.      
Lokasi terakhir anda ialah di pekan Pangkor. Lokasi yang amat dinanti-nanti oleh tetamu wanita (terutamanya). Belilah seberapa banyak buah tangan yang anda mahu. Segalanya bergantung kepada ‘poket’ anda yang sarat ataupun tidak. Keropok ikan, ikan bilis Pangkor, udang kering, talang masin, dan segala hasil laut Pangkor ada dijual di sini. Untuk tersayang di rumah anda boleh membeli cenderamata menarik di deretan kedai.
Pakej Main Ombak akan berakhir selepas ini. Redah Alam akan menghantar anda hingga ke pintu masuk feri di Jeti Pangkor. Tambatan dibuka, feri meluncur, Redah Alam melambai tangan mengucapkan selamat pulang. Harapan Redah Alam agar anda amat berpuas hati dengan percutian damai kali ini. Jadikannya sebagai kenangan terindah dalam diari kehidupan  anda. Selamat Pulang  dan terima kasih dari Redah Alam Resources.
Bagaimana nak merasainya ……. ?
Hubungi  kami di :
Redah Alam Resources
Tel : 013-4444 655
Email : matpkk@gmail.com



Monday 17 October 2011

Redah Alam di Lautan

 EKSPEDISI PANGKOR - JET SKI 2011

   Bukan senang menyahut cabaran merentasi lautan dengan halangan beberapa faktor alam. Namun dek rasa tanggungjawab yang ada, Redah Alam Resources telah memikul tanggungjawab besar bersama Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Pejabat Pelajaran Daerah Manjung, Pusat Kokurikulum Negeri,SMK Pangkor dan SK Seri Pangkor berjaya membuktikan penggemar sukan 'offroad' boleh melakukan sesuatu yang boleh dibanggakan.Sukan air yang boleh diketengahkan kepada murid-murid sekolah di pulau indah ini.
    Ekspedisi Pangkor - Jet Ski 2011 adalah ekspedisi yang diilhamkan untuk merealisasikan Satu Murid Satu Sukan yang hangat diperkatakan di Malaysia sekarang. Ekspedisi ini merupakan cabaran mengelilingi Pulau Pangkor dengan menunggang jentera sukan air iaitu Jet ski. Ekspedisi Jet ski ini merupakan ekspedisi menunggang jet ski secara solo mengelilingi Pulau Pangkor. Ekspedisi redah ombak yang  bukan main-main ombak ini juga mengambil kira pecutan seberapa laju untuk mendapatkan catatan masa sepantas yang boleh untuk satu pusingan Pulau Pangkor.
       Adik Harith bin Mohammad, 8 Tahun, SK Seri Pangkor dan Kakaknya, 'Izzati bt Mohammad,15 Tahun, SMK Pangkor telah membuktikan mereka boleh menyahut cabaran ayahnya yang juga merupakan Pengurus serta Jurulatih mereka.
      'Izzati dan Harith telah berjaya meredah ombak, menongkah arus, dilambung ombak malah berjaya merentas badai untuk mengotakan janji kepada ayah yang mereka boleh membuktikan sesuatu di bumi Pangkor ini. Hasilnya terpahat dalam diari hidup mereka berdua sebagai bekal menghadapi masa hadapan.  
    Harith dan 'Izzati telah berjaya membuat catatan masa selama 35 minit untuk
menunggang Jet Ski secara solo mengelilingi Pulau Pangkor sejauh 40 kilometer. Kejayaan ini telah disahkan dalam rekod mereka pada 29 Januari 2011, Sabtu di Perairan Pangkor. Malah mengikut maklumat yang diperoleh, ekspedisi sebegini dan catatan ini belum pernah dibuat lagi oleh sesiapa sebelum ini di sini.  Senyuman terukir di bibir mereka berdua malah perjalanan sukan ekstrem mereka ini tiada nokhtahnya lagi kerana mereka sudah serasi dengan dunia sukan yang perlukan keberanian dan kesungguhan ini.
     Untuk melihat catatan ini terukir, keadaan dan situasinya bukanlah semudah yang disangkakan. Ianya juga atas Latihan Asas Teori dan Amali berkaitan Keyakinan di Air, Asas Renang, Asas Menyelamat Kelemasan, Teknik Pengendalian Jet Ski dan undang – undang serta kaedah berkaitan lautan telah dilalui mereka berdua sepanjang tahun.  Beginilah mereka berdua dapat mempelajari dan memantapkan lagi kemahiran yang sedia ada dengan latihtubi tunggangan, teknik pengawalan haluan dan teknik membelah ombak di sepanjang perjalanan. Setelah mengharungi pelbagai cabaran latihan , barulah ekspedisi ini boleh dilaksanakan.

   Ekspedisi bermula di Pantai Pasir Bogak, bergerak mengelilingi Pulau Pangkor melalui Pulau Mentagor, Pulau Giam, Teluk Belanga, Teluk Dalam, Teluk Kecil, Teluk Segadas, Pulau Pangkor Laut, Marina Bay dan berakhir di Pasir Bogak untuk catatan masa terpantas. Cabaran bukan sekadar memecut seberapa laju mesin air ini untuk mambuat catatan masa, malah pada masa ekspedisi itu, mereka diiringi hujan dan angin yang agak kuat.  Syukur pengalaman dan kecekalan mengatasi segalanya.
    Ekspedisi ini juga diawasi sepenuhnya oleh sebuah Bot Penyelamat Pasukan Gerakan Marin Lumut ( 4 anggota ), 2 buah Jet Ski Penyelamat Pasukan Gerakan Marin Lumut, 4 orang anggota Bomba dan Penyelamat Pangkor, Sebuah Bot Pasukan Pemantauan, seorang Pegawai dari Persatuan Bulan Sabit Merah Perak, 2 orang  pasukan dokumentasi program sebuah Bot Penyelamat, Penolong Pengarah Pusat Kokurikulum Negeri, Pegawai Pusat Kokurikulum Negeri, kakitangan Pusat Kokurikulum Negeri,  seorang Penolong PPD dari PPD Manjung, 2 orang Wakil Sekolah dan sebuah bot penyelamat Pusat Kokurikulum Negeri.
       Syukur, pengembaraan ini telah berjaya. Kejayaan ini juga atas dorongan, sokongan serta kerjasama yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung di sini.
Jutaan terima kasih kepada Pihak Bomba da Penyelamat Pangkor, Pasukan Gerakan Polis Marin Kg Aceh, Masjid Teluk Raja Bayang, PBS Perak, Klinik Kesihatan Pangkor serta semua yang terlibat. 
Terima kasih kepada pihak Jabatan yang telah memberikan sijil penghargaan dan pengikhtirafan atas kejayaan ini.