Saturday 26 July 2014

Santai di pangkor

Kenangan bersamamu......

Jam 2.00 petang - Bergerak ke DJ Holiday untuk menjemput tetamu istimewa yang menginap di situ. Sampai saja di lobi, kelihatan dua orang tetamu baru sahaja melabuhkan punggung sofa empuk resort. Diperkenalkan oleh Ridzwin, salah seorang pengurus Dj. Tanpa berlengah, kami bergerak dengan menaiki jeep hitam. Dua beranak tetamu istimewa dari Australia ini mahu Santai bersama Redah Alam hari ini. Tak kisah berapa jam pun, ujar mereka berdua.

Jam 2.30 petang. Kami tiba di kaki bukit Pangkor Selatan. Lokasi pertama selepas menaiki jeep selama 10 minit dari resort. Kami mulakan perjalanan untuk mendaki bukit ini. Tetamu ini me many cukup peramah. Ada saja yang nak dibualkan. Kekadang susah juga nak diterjemahkan perkataan dalam bahasa Melayu ke bahasa Inggeris.  Hentam saja la , asalkan dia faham.

Damai dan mengasyikkan. Itu antara  patah-patah yang mereka dua beranak ungkapkan ketika menyusuri denai pendakian bukit ini. Banyak dilihat kejadian alam yang merupakan khazanah yang tidak ternilai di hutan ini. Kepelbagaian flora dan fauna diterjemahkan di sini.  Meneroka hutan ini, keindahan alam yang terbentang pasti menyentuh perasaan mereka berdua. Apa tidaknya, mereka berpeluang mengunyah daun tongkat Ali, minum air tongkat Ali. Fuh ! Berkerut muka bila minum rebusan air tongkat Ali yang pahit ini .

Jam 4.30 petang - kami tiba di pantai. 'Paradise Beach' kami gelar pantai ini . Kelihatan raut wajah yang penat tapi nampak kepuasan yang teramat sangat. Perjalanan yang memberi seribu satu kenangan untuk mereka dua beranak. Lokasi pantai ini umpama terapi minda kepada mereka yang terlalu dibebankan dengan kesibukan bekerja di ibu kota Australia yang sesak dengan manusia dan kenderaan. Deruan ombak dan hembusan bayu yang dilepaskan adalah rawatan terbaik yang dapat merungkai setiap kecelaruan.

Jam 4.45 petang, kami bergerak santai dengan jeep untuk jalan-jalan makan angin petang. Dari Pasir Bogak kami melintasi perhentian Pangkor Laut dan terus ke menara pandang di hujung pasir Bogak. Menakjubkan. Dari atas  menara ini kelihatan hamparan laut yang terbentang luas.Kami tidak lama di sini. Kami bergerak ke manara pandang di Teluk Ketapang pula. Wow ! Di sini lagi menakjubkan. Sayup-sayup kelihatan hamparan ini beralun lembut. 

Jam 5.00 petang kami sampai di Teluk Nipah. Kami singgah di Kedai mamu untuk minum menghilangkan haus. Menu istimewa hari ini, Roti Pisang dan mee  goreng mamak. Memang menyelerakan, apatah lagi disajikan dengan Kopi pan as cawan bunga. Sedap, murah dan tempatnya mendamaikan. Kami borak panjang di warung ini. Sesekali kami disapa rakan-rakan yang lalu-lalang di sekitar laluan ke pantai. Ramai pula pengunjung hari ini di sini.

Jam 6.30 petang, kami bergerak ke Sunset view chalet, milik En. Din. Jeep diparkir di bahu jalan. Pengalaman pertama dua beranak dapat santai bersama enggang atau 'hornbill'. Sungguh menakjubkan. Apa tidaknya kami dapat memberi pisang kepada burung ini. Dengan hanya pegang buah pisang yang telah dipotong, angkat tangan ke atas dan hornbill akan turun menyambar pisang itu. Rasa takut juga kelihatan di wajah mereka berdua.

Jam 7.00 petang, kami menyusuri jalan raya untuk pulang ke resort. Sepanjang perjalanan dapat menikmati hembusan bayu laut sepoi-sepoi bahasa sambil menikmati pemandangan indah pulau peranginan ini. Mentari merah terbenam kelihatan amat mendamaikan jiwa menjadi penutup acara santai kami hari ini.