Sunday, 3 August 2014

Jaket biru

Tiada yang menghalang, segala cabaran ditempuhi. Keberanian Dan kekentalan adalah lambang keperkasaan jejaka. Menepati dengan cara hidup lelaki aktif dan lasak, soal gaya juga tidak mahu ketinggalan. Kali ini gaya ranggi dan lasak menjadi buruan lelaki.
Jaket Rona biru vintaj bersama jeans 'straight cut', menjadi nadi pada gaya utuh si jejaka yang memakainya. Malah ianya menjadi sebagai pelengkap tersendiri jejaka terhebat.

RM100/ termasuk pos

Gaya retro dengan but kulit

Pemilihan kasut yang sesuai perlu berpadanan dengan seluar atau baju yang dipakai. Kasut yang tepat pasti saja mampu melengkapkan penampilan si pemakainya.
Gaya retro atau klasik dengan kasut kulit pasti akan membuatkan setiap lelaki tampil hebat Dan bergaya. Pemilihan kasut dengan muncung tirus harus selari dengan potongan seluar yang sesuai.
Pastikan seluar tidak menutupi keseluruhan kasut kerena kecenderungan 'dress pants' untuk meleret sehingga ke lantai akan mencacatkan penampilan seseorang. Untuk penampilan separuh formal, anda boleh gayakan denim dan kemeja bersama kasut kulit dengan potongan gaya yang minima.
But retro ini khas untuk jejaka yang berjiwa rock. Gaya santai jeans dan kemeja selalunya tepat digayakan dengan but ini. But terpakai bersaiz 41 ini mampu membuatkan si pemakainya kelihatan hebat dan bergaya. Dengan membelanjakan RM150 sepasang , anda boleh memilikinya.

Retro

Teruskan Melangkah. Koleksi retro terpakai untuk dijual. Rekaan buatan tangan, klasik, kemas dan jahitan halus. Koleksi stail lasak dengan perincian tepat menangkap mata dan tentunya mendefinasikan gaya lelaki retro. Mainan kulit kambing dengan warna gelap hitam melatari rekaan yang menyerlahkan gaya si pemakainya. Gaya, potongan dan perincian dihasilkan mengikut bentuk dan fungsi yang lebih kontemporari. Uniknya koleksi dan seleksi penuh gaya yang harus dimiliki ini adalah hasil kraftangan sendiri.

Koleksi retro dalam kondisi 90% dan terpakai. Kulit kambing berwarna hitam. Saiz 7. Buatan tangan. Harga RM200. Kuantiti sepasang sahaja.

Saturday, 2 August 2014

Percutian ekstrem

Untuk mereka yang gemarkan kelainan. Bosan dengan percutian yang biasa ? Mengapa tidak mencuba sesuatu yang Lain dari kebiasaan ? Percutian gaya ekstrem dengan pelbagai aktiviti rekreasi yang mungkin menjadi pilihan. Ekopelancongan adalah perjalanan dan lawatan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, termasuk kawasan semulajadi dan juga untuk menikmati serta menyedari akan sifat-sifat semulajadi.

Gaya percutian ekopelancongan ini juga turut bertujuan menggalakkkan pemuliharaan alam sekitar serta penglibatan masyarakat tempatan di dalam aktiviti sosio ekonomi yang positif. Tapi konsep percutian ini tidak sesuai jika anda pergi berseorangan. Seelok-eloknya berdua atau lebih. Selain itu ia memerlukan Sedikit kecergasan dan lebih elok jika dilakukan bersama teman-teman.

Dambaan rindu pangkor

Pulau Pangkor memang cukup terkenal di seluruh pelusok dunia. Keistimewaannya sebagai destinasi percutian utama Negara ini bukan pada pantainya yang menawan Malah lengkap dengan semua jenis tarikan. Setiap percutian kebiasaannya akan menjadi lebih manis jika disajikan dengan pelbagai aktiviti yang memenuhi kehendak dan citarasa serta layanan yang terbaik.

Sesiapa sahaja pasti mengimpikan pengalaman percutian yang bebas dari hiruk-pikuk dan hingar-bangar kota, malahan mahu bebas daripada bebanan kerja yang hanya mengusutkan kepala. Maka, di sinilah merupakan lokasi percutian yang paling ideal. Memandangkan persekitaran pangkor hanya ditemani air laut, flora dan fauna yang secara tidak langsung mempesonakan percutian. Apatah lagi para pengunjung diberi kebebasan memilih jenis penginapan dan aktiviti mengikut citarasa masing-masing.

Kepada mereka yang merindui bunyi ombak, jangan lepaskan peluang menelusuri perkampungan nelayan. Perkampungan yang menjanjikan kedamaian yang sukar ditemui di bandar. Menghirup secangkir Kopi bersama pasangan di warung-warung pilihan atau di beranda kopitiam yang menghadap laut cukup mengasyikkan.

Air laut yang membiru di samping tiupan angin sepoi-sepoi bahasa memberi ketenangan  kepada pengunjung yang mengambil kesempatan berjemur dan menatap bahan bacaan di atas buaian gantung yang diikat antara dua batang pokok. Tidak dinafikan, ramai yang begitu teruja untuk mengunjungi pulau ini kerana tidak sabar-sabar lagi menikmati keindahan pantai dan lautnya. Pantai-pantai yang indah, bersih serta jernih biru-kehijauan amat sesuai bagi mereka yang mencari kedamaian.

Friday, 1 August 2014

Memori Indah di Pulau pangkor

    Dahulunya pulau ini hanyalah persinggahan nelayan atau pelaut yang berlindung daripada ancaman ribut. Masa berubah, membawa bersama pembangunan yang menukar wajah pulau ini. Kini, Pulau Pangkor menjadi salah satu destinasi percutian yang paling popular di negara ini.

     Menurut lagendanya, pulau ini mendapat nama daripada perkataan Siam 'Pang Ko' yang bermaksud pulau yang cantik. Tepat sekali dengan nama yang diberi, kebiruan air lautnya dan kehijauan hutan sekeliling seperti memanggil-manggil pengunjung untuk menikmati keindahannya. Pulau ini bukan sahaja menggamit hati pelancong tempatan, tetapi juga menjadi idaman pelancong asing yang mahu berjemur di bawah pancaran matahari, beralaskan pasir pantainya yang memutih.

     Dikelilingi pulau-pulau kecil yang menjadi daya tarikan hidupan marinnya, pulau ini menjanjikan kepuasan bagi yang datang bersantai bersama keluarga, rakan-rakan mahupun bersama pasangan. Apa yang pasti, pelancong yang pulang akan membawa bersama kenangan di Pangkor sebagai ole-ole.

     Panorama daratnya yang menghijau begitu mempesonakan. Hutan simpan Pangkor menyimpan seribu rahsia alam flora dan fauna yang memang mengasyikkan. Bukan sahaja suasana tenang dan damai, hati juga akan melonjak gembira melihatkan penghuni rimba yang sudi berkongsi nikmat alam.Melihat enggang terbang bebas rendah dari dahan ke dahan, begitu melekakan. Ada ketikanya para pengunjung berpeluang memberi makanan kepada si enggang jinak.

Saturday, 26 July 2014

Santai di pangkor

Kenangan bersamamu......

Jam 2.00 petang - Bergerak ke DJ Holiday untuk menjemput tetamu istimewa yang menginap di situ. Sampai saja di lobi, kelihatan dua orang tetamu baru sahaja melabuhkan punggung sofa empuk resort. Diperkenalkan oleh Ridzwin, salah seorang pengurus Dj. Tanpa berlengah, kami bergerak dengan menaiki jeep hitam. Dua beranak tetamu istimewa dari Australia ini mahu Santai bersama Redah Alam hari ini. Tak kisah berapa jam pun, ujar mereka berdua.

Jam 2.30 petang. Kami tiba di kaki bukit Pangkor Selatan. Lokasi pertama selepas menaiki jeep selama 10 minit dari resort. Kami mulakan perjalanan untuk mendaki bukit ini. Tetamu ini me many cukup peramah. Ada saja yang nak dibualkan. Kekadang susah juga nak diterjemahkan perkataan dalam bahasa Melayu ke bahasa Inggeris.  Hentam saja la , asalkan dia faham.

Damai dan mengasyikkan. Itu antara  patah-patah yang mereka dua beranak ungkapkan ketika menyusuri denai pendakian bukit ini. Banyak dilihat kejadian alam yang merupakan khazanah yang tidak ternilai di hutan ini. Kepelbagaian flora dan fauna diterjemahkan di sini.  Meneroka hutan ini, keindahan alam yang terbentang pasti menyentuh perasaan mereka berdua. Apa tidaknya, mereka berpeluang mengunyah daun tongkat Ali, minum air tongkat Ali. Fuh ! Berkerut muka bila minum rebusan air tongkat Ali yang pahit ini .

Jam 4.30 petang - kami tiba di pantai. 'Paradise Beach' kami gelar pantai ini . Kelihatan raut wajah yang penat tapi nampak kepuasan yang teramat sangat. Perjalanan yang memberi seribu satu kenangan untuk mereka dua beranak. Lokasi pantai ini umpama terapi minda kepada mereka yang terlalu dibebankan dengan kesibukan bekerja di ibu kota Australia yang sesak dengan manusia dan kenderaan. Deruan ombak dan hembusan bayu yang dilepaskan adalah rawatan terbaik yang dapat merungkai setiap kecelaruan.

Jam 4.45 petang, kami bergerak santai dengan jeep untuk jalan-jalan makan angin petang. Dari Pasir Bogak kami melintasi perhentian Pangkor Laut dan terus ke menara pandang di hujung pasir Bogak. Menakjubkan. Dari atas  menara ini kelihatan hamparan laut yang terbentang luas.Kami tidak lama di sini. Kami bergerak ke manara pandang di Teluk Ketapang pula. Wow ! Di sini lagi menakjubkan. Sayup-sayup kelihatan hamparan ini beralun lembut. 

Jam 5.00 petang kami sampai di Teluk Nipah. Kami singgah di Kedai mamu untuk minum menghilangkan haus. Menu istimewa hari ini, Roti Pisang dan mee  goreng mamak. Memang menyelerakan, apatah lagi disajikan dengan Kopi pan as cawan bunga. Sedap, murah dan tempatnya mendamaikan. Kami borak panjang di warung ini. Sesekali kami disapa rakan-rakan yang lalu-lalang di sekitar laluan ke pantai. Ramai pula pengunjung hari ini di sini.

Jam 6.30 petang, kami bergerak ke Sunset view chalet, milik En. Din. Jeep diparkir di bahu jalan. Pengalaman pertama dua beranak dapat santai bersama enggang atau 'hornbill'. Sungguh menakjubkan. Apa tidaknya kami dapat memberi pisang kepada burung ini. Dengan hanya pegang buah pisang yang telah dipotong, angkat tangan ke atas dan hornbill akan turun menyambar pisang itu. Rasa takut juga kelihatan di wajah mereka berdua.

Jam 7.00 petang, kami menyusuri jalan raya untuk pulang ke resort. Sepanjang perjalanan dapat menikmati hembusan bayu laut sepoi-sepoi bahasa sambil menikmati pemandangan indah pulau peranginan ini. Mentari merah terbenam kelihatan amat mendamaikan jiwa menjadi penutup acara santai kami hari ini.