Saturday 2 August 2014

Dambaan rindu pangkor

Pulau Pangkor memang cukup terkenal di seluruh pelusok dunia. Keistimewaannya sebagai destinasi percutian utama Negara ini bukan pada pantainya yang menawan Malah lengkap dengan semua jenis tarikan. Setiap percutian kebiasaannya akan menjadi lebih manis jika disajikan dengan pelbagai aktiviti yang memenuhi kehendak dan citarasa serta layanan yang terbaik.

Sesiapa sahaja pasti mengimpikan pengalaman percutian yang bebas dari hiruk-pikuk dan hingar-bangar kota, malahan mahu bebas daripada bebanan kerja yang hanya mengusutkan kepala. Maka, di sinilah merupakan lokasi percutian yang paling ideal. Memandangkan persekitaran pangkor hanya ditemani air laut, flora dan fauna yang secara tidak langsung mempesonakan percutian. Apatah lagi para pengunjung diberi kebebasan memilih jenis penginapan dan aktiviti mengikut citarasa masing-masing.

Kepada mereka yang merindui bunyi ombak, jangan lepaskan peluang menelusuri perkampungan nelayan. Perkampungan yang menjanjikan kedamaian yang sukar ditemui di bandar. Menghirup secangkir Kopi bersama pasangan di warung-warung pilihan atau di beranda kopitiam yang menghadap laut cukup mengasyikkan.

Air laut yang membiru di samping tiupan angin sepoi-sepoi bahasa memberi ketenangan  kepada pengunjung yang mengambil kesempatan berjemur dan menatap bahan bacaan di atas buaian gantung yang diikat antara dua batang pokok. Tidak dinafikan, ramai yang begitu teruja untuk mengunjungi pulau ini kerana tidak sabar-sabar lagi menikmati keindahan pantai dan lautnya. Pantai-pantai yang indah, bersih serta jernih biru-kehijauan amat sesuai bagi mereka yang mencari kedamaian.

No comments:

Post a Comment