Friday 1 August 2014

Memori Indah di Pulau pangkor

    Dahulunya pulau ini hanyalah persinggahan nelayan atau pelaut yang berlindung daripada ancaman ribut. Masa berubah, membawa bersama pembangunan yang menukar wajah pulau ini. Kini, Pulau Pangkor menjadi salah satu destinasi percutian yang paling popular di negara ini.

     Menurut lagendanya, pulau ini mendapat nama daripada perkataan Siam 'Pang Ko' yang bermaksud pulau yang cantik. Tepat sekali dengan nama yang diberi, kebiruan air lautnya dan kehijauan hutan sekeliling seperti memanggil-manggil pengunjung untuk menikmati keindahannya. Pulau ini bukan sahaja menggamit hati pelancong tempatan, tetapi juga menjadi idaman pelancong asing yang mahu berjemur di bawah pancaran matahari, beralaskan pasir pantainya yang memutih.

     Dikelilingi pulau-pulau kecil yang menjadi daya tarikan hidupan marinnya, pulau ini menjanjikan kepuasan bagi yang datang bersantai bersama keluarga, rakan-rakan mahupun bersama pasangan. Apa yang pasti, pelancong yang pulang akan membawa bersama kenangan di Pangkor sebagai ole-ole.

     Panorama daratnya yang menghijau begitu mempesonakan. Hutan simpan Pangkor menyimpan seribu rahsia alam flora dan fauna yang memang mengasyikkan. Bukan sahaja suasana tenang dan damai, hati juga akan melonjak gembira melihatkan penghuni rimba yang sudi berkongsi nikmat alam.Melihat enggang terbang bebas rendah dari dahan ke dahan, begitu melekakan. Ada ketikanya para pengunjung berpeluang memberi makanan kepada si enggang jinak.

No comments:

Post a Comment